Thursday, April 25, 2013

IKMAL


Pengalaman sedih hari ini...Ummi bertugas minggu ini. Ummi turun ke kantin sekolah untuk memantau pelajar. Ummi ternampak seorang pelajar lelaki tingkatan satu...badannya kecil dan kurus sekali. Mukanya tunduk macam sedang merajuk, sedangkan kawan di sebelahnya tengah mkn dgn lahapnya.

"Kenapa tak makan?" sapa Ummi.

"Kawan saya ni, dia tak nak pinjamkan saya 30sen.." jawabnya dengan suara agak tinggi macam baru lepas gaduh..

"Dia tu asyik kena buli je cikgu. Duit dia, dia bagi kat orang lain~" jawab kawannya, Iman, mulutnya separuh penuh mengunyah mee goreng.  Matanya tertumpu ke pinggan di hadapannya, dalam nada yang kecewa..

"Tak apa, ambil duit cikgu ni dua ringgit, pergi beli makanan...tapi jangan bagitau orang lain." pesan Ummi supaya tak di hebahkan.

Selepas makan, Ummi keluar dari bilik makan guru, ketika melewati meja makan pelajar, "Cikgu terima kasih ye?" suara kecil dari anak tadi tenggelam dalam keriuhan para pelajar lain yang membanjiri kantin.

"Okay, sama-sama...dah kenyang?" tanya Ummi.

Hampir saja air mata Ummi mengalir melihatkan mukanya yang agak pucat...takut dan segan barangkalinya...

Dalam kelas sains, Ummi terkejut bila terpandang muka kecil tadi berada di depan kelas, siap dengan buku dan pen, bersila dilantai. Dia telah bersedia untuk belajar...bajunya yang sepatutnya berwarna putih, tidak kelihatan seperti dibasuh. Seluar sekolahnya besar, mungkin ibunya membeli untuk jangkamasa yang panjang. Dengan harapan anak lelakinya itu akan membesar kemudian hari. Matanya bersinar-sinar ceria, terukir senyuman, menampakkan barisan giginya yang putih.

"Ikmal, bangun, pergi ambil kerusi awak!" dengan tegas Ummi bersuara, tak sanggup dia membiarkan anak kecil itu merendahkan diri sedemikian rupa. Ketika bersila di lantai, tapak kasut Ikmal kelihatan berlubang dan menampakkan stokinnya juga sudah terkoyak menampakkan tapak kakinya yang putih, pucat itu. Terkedu Ummi sekali lagi, sebak terasa. Dengan lemah Ikmal bangun dan ke belakang untuk mengambil kerusinya. Namun senyuman tetap terukir di wajahnya. Senyuman pahit kerana malu di tengking Ummi. Mungkin juga terkejut barangkali.

Baru sebulan Ummi bertugas di sekolah tersebut setelah 3 tahun bercuti tanpa gaji di Los Angeles, California. Agak kekok rasanya bila berhadapan dengan pelajar-pelajar baru. Inilah kali pertama Ummi mengajar di tingkatan 1. Sebelum cuti tanpa gaji dulu, ummi mengajar di tingkatan 4 dan 5. Terasa payah juga Ummi mengendalikan pelajar yang masih dalam peralihan umur kanak-kanak ke alam remaja. Masih ramai nama pelajar yang belum dapat diingati.  Nama Ikmal Aiman memang tak asing bagi Ummi. Hampir sama namanya dengan nama anak sulung Ummi di Jakarta, sedang menuntut ilmu kedoktoran.

Biarpun Ikmal ini juga anak sulung, namun Ikmal Aiman tak sama dengan anak Ummi. Nasibnya amat berbeza.  Ikmal ini tak punya ayah. Anak yatim. Ibu Ikmal bekerja di Ibu Negara, mencari rezki halal untuk Ikmal 3 beradik. Awal pagi Ibunya keluar, jam 10.00 malam baru sampai di rumah. Tanggungjawab menjaga adik di bahu Ikmal yang baru berumur 13 tahun, baru belajar mengenal hidup sebagai remaja di sekolah menengah.

Keinginan Ummi untuk bertemu ibu tunggal, ibu Ikmal membuak-buak apabila suatu hari Ikmal datang ke sekolah dengan baju yang berbau. Kasutnya juga amat kotor sekali.

"Ikmal, awak tak basuh baju dan kasut ka?" tanya Ummi geram bercampur simpati yang tak dapat di luahkan keseluruhannya. Nak dimarahkan, kesian. Tak marah pun tak kena sebab keadaannya yang tidak kemas dan selesa untuk belajar.

Allah Maha Mendengar keluhan hati. Malam Ummi menjemput suami di station komuter, dalam perjalanan Ummi ternampak seorang wanita, berjalan laju. Di belakangnya ada 3 ekor anjing mengikutinya dari belakang. Memandangkan jam lewat 10.10 malam, timbul rasa simpati dan bersalah membiarkan wanita itu berjalan sendirian. Suami Ummi memberhentikan kereta dan bersepakat untuk menghantarnya ke tempat destinasinya. katanya setiap malam dia menumpang kawan untuk balik ke rumah. Tapi kawannya tidak ada malam itu.

Dalam perbualan sepanjang perjalanan, Ummi memperkenalkan diri sebagai guru di SMK Seremban Jaya 2. Menurut kata Siti, anaknya juga belajar di sekolah yang sama. Teringat detik 10 malam emak Ikmal pulang dari KL, hati Ummi melonjak gembira.

"Anaknya di tingkatan 1? Namanya Ikmal?" soal Ummi tanpa ragu-ragu.

"Ye! macamana cikgu tau?" agak terkejut dengan tekaan Ummi, Siti seperti terhenti perbualannya.

"Ikmal selalu bercerita kepada saya." balas ummi tersenyum sambil memandang muka suaminya yang tekun memandu, diam mendengar perbualan Ummi dan Siti.


......................................................sambung lain kali..

Dalam hati, "Alhamdulilla ya Allah...sesungguhnya doaku di makbulkan, biarpun dgn hanya 1 pelajar..."

Semalam doa Ummi.."Ya Allah...tolonglah aku yang baru belajar untuk mengajar semula.  Bukakanlah hati pelajar2 ku untuk suka belajar dan sentiasa memberikan perhatian kepada isi pengajaranku ya Allah...lebih-lebih lagi pelajar kelas ujung...


No comments:

Post a Comment