Monday, April 29, 2024

Nak hidupkan balik blog ni

 Assalam,

Rupa-rupanya sudah bertahun tak update apa- apa di sini.

Laju masa berlalu.


Kena update:

1. Hari persaraan

2. Hari terima naskah buku baru

3. Hari bakal menantu datang ke Malaysia

4. Hari anak kawen

5. Hari terima cucu ke 5



Saturday, December 21, 2019

Tahun 2019 yang amat mengujakan

Alhamdulillah ya Allah,

2019 yang dilalui hampir tamat... Ummi dah lama tak update blog ni. Tahun yang amat mengujakan dan penuh debaran. Alhamdulillah terima kasih Ya Allah Engkau berikan banyak kejayaan dalam diam2...Ampunilah dosa hambaMu ini yang selalu sangat merungut, kurang bersyukur.

Budak California ni memang power...Dapat dua hadiah penting untuk tahun ni. Tahun lepas dapat Anugerah Buku Negara. Tahun ni dapat Hadiah Sastera & Media Negeri Sembilan bagi novel terbaik...Allahu tak sangka betul, sebab novel ni hanya novel kanak-kanak yang bersaing dengan novel sastera dewasa oleh penulis yang gah.

Sebelum majlis itu, ummi dah dapat panggilan daripada DBP, mengatakan mendapat Hadiah Sastera Perdana 2017/2018 kategori novel kanak-kanak. Ummi diminta rahsiakan dahulu...tapi bocor juga kepada beberapa individu yang ada kaitan dengan novel ni...(Payahnya ummi menyimpan rahsia)...

Kejutan seterunya...ummi diminta masuk TV Bernama....Allahu, dari tahun 2013 tak ada TV kat rumah, tetiba diminta masuk TV live...seram..

Tapi atas sokongan dan bantuan rakan sekolah cikgu Sulaini dan cikgu Norhayati, Alhamdulillah masuk la juga Program Bual Bicara...mak aii..macam kanak-kanak ja ummi menjawab soalan yang di ajukan oleh En Sharkawi Jirim...

Terima kasih ya Allah...





   

Monday, June 17, 2019

Assalam, dah lama ummi tak menulis diblog ni.

Just nak update novel baru.

Sunday, October 28, 2018

MASUK DEWAN SISWA (DBP)



BUDAK CALIFORNIA DAPAT ANUGERAH BUKU NEGARA! YEAY! ALHAMDULILLAH






Assalam...dah hampir 3 tahun tak add apa2 dlm blog ni...

Dah ada dua cucu, dah jadi Tok Mi...Alhamdulillah.

Novel pun dah lahir novel kedua.

Budak California.


Saturday, January 31, 2015

Ulasan dalam majalah Dewan Sastera 1/2015

HADIAH dalam kategori C, merujuk kepada karya sastera kreatif bentuk buku, bagi genre cerpen, novel, puisi dan drama. Karya bentuk buku ini merupakan hasil pengarang perseorangan untuk sasaran peringkat kanak-kanak dan peringkat remaja. Karya yang dinilai ialah karya-karya yang diterbitkan  pada tahun 2013.

KATEGORI KESUSASTERAAN KANAK-KANAK
Empat kategori karya yang dinilai, iaitu :
i, Kategori Novel Kanak-kanak..
ii.Kategori Kumpulan Cerpen Kanak-kanak.
iii,Kategori  Kumpulan Puisi Kanak-kanak.
iv.Kategori  Kumpulan Drama Kanak-kanak.
Kategori Novel Kanak-Kanak

1.    1. Pendahuluan
Novel kanak-kanak merupakan salah satu kategori yang dinilai dalam Hadiah Sastera Perdana (HSPM)  2013.  Pihak Sekretariat HSPM 2013  telah menerima sejumlah novel kanak-kanak yang sesuai dinilai dalam kategori berkenaan. Novel-novel yang diterima mengutarakan pelbagai tema dan persoalan, merangkumi ruang lingkup dunia kanak-kanak seperti yang ditetapkan.
1.    2. Kriteria Penilaian
Urus setia telah menetapkan kriteria dalam proses penilaian, antaranya sesebuah karya tersebut perlu memenuhi ciri-ciri kekuatan kesatuan organik, kekuatan dan keaslian persoalan, keseimbangan estetika bahasa dengan persoalan kemanusiaan, keindahan moral, dan  inovasi dalam kreativiti.
Dalam hubungan ini, semua novel telah dibaca secara analitikal untuk memastikan kehendak kriteria penilaian itu dipenuhi. Berdasarkan pembacaan dan penelitian yang dilakukan terhadap novel tersebut, terdapat karya yang memaparkan kekuatan dalam aspek-aspek tertentu  tetapi memperlihatkan pula beberapa kelemahan yang nyata, misalnya dari aspek penggunaan bahasa dan garapan plot yang lemah walaupun idea yang diketengahkan baik.  Hal-hal sebegini telah diberikan perhatian yang sewajarnya oleh panel penilai dalam menentukan karya yang benar-benar kuat untuk diangkat sebagai penerima anugerah.
1.    3. Penilaian keseluruhan
Panel telah menerima sebanyak 22 buah novel kanak-kanak untuk dinilai berdasarkan kriteria dan pertimbangan yang ditetapkan. Meneliti secara keseluruhan novel yang dihasilkan, umumnya menampakkan kesesuaian terutama sebagai bahan bacaan kepada kelompok sasaran. Sebahagian besar novel yang diketengahkan berkisar di sekitar kehidupan kanak-kanak, kekeluargaan, pengalaman hidup kanak-kanak, cerita-cerita teladan dan pengajaran walaupun kebanyakan isu yang dipaparkan agak lazim. Walaupun demikian, panel penilai mengakui bahawa  ada usaha dan kesungguhan yang dilakukan oleh penulis untuk menyajikan sesuatu yang baharu, dengan persoalan yang baharu serta penyisipan ilmu melalui cerita yang disampaikan.
Selain itu, nilai dan pengajaran yang dapat diperoleh melalui karya itu dikesan secara dominan dalam keseluruhan karya yang diteliti mempunyai nilai positif seperti bertanggungjawab, keyakinan tinggi, jujur dan tabah sesuai dengan peranan dan fungsi sastera antaranya sebagai medium untuk mendidik. Namun demikian, kecenderungan penulis menyuguhkan nilai dan pengajaran secara keterlaluan dalam novel menjadikan karya berkenaan tidak realistik dan seperti sengaja diada-adakan.
Tidak kurang juga novel yang menggunakan bahasa yang baik, iaitu mempunyai nilai kesusasteraan yang tinggi selaras dengan tahap khalayak sasarnya. Walaupun demikian, terdapat juga beberapa novel yang dinilai menggunakan bahasa santai secara berlebihan sehingga mencetuskan kerancuan. Penggunaan bahasa basahan, bahasa slanga, bahasa asing, digunakan untuk menyesuaikan karya dengan dunia kanak-kanak. Hal ini tidak dianggap sebagai satu perkara yang baik kerana pengabaian terhadap estetika bahasa sudah tentu menghilangkan pesona kesusasteraan itu sendiri.
Hasil penelitian dan pembacaan secara rinci terhadap 22 buah novel yang dinilai dari segi kesesuaian cerita, watak, dan teknik penyampaian dan penulisan, tiga buah novel telah dipilih untuk dipertimbangkan dalam senarai pendek bagi penilaian  ke peringkat separuh akhir. Novel-novel tersebut ialah :
1.    Suteki Da Ne Aleena oleh Mass Ruhaiza Ali
2.    Budak Tin oleh Nazrie Haslienie
3.    Super Jejul oleh Siti Nazhatusshima bt Ahmad
Setelah diperhalus  dari segala aspek penilaian yang ditetapkan oleh pihak urus setia.  Panel telah membuat keputusan sebulat suara untuk memilih dua buah novel yang berjaya memenuhi justifikasi pemilihan akhir iaitu novel Suteki Da Ne Aleena dan novel Budak Tin.

Ulasan Umum Novel
Suteki Da Ne Aleena
Novel ini mengisahkan Aleena dan kakaknya Nora yang terpaksa berpindah sekolah ke Amerika Syarikat kerana pertukaran kerja ayah mereka. Ayah mereka ditukarkan untuk bertugas di Kedutaan Malaysia, California Amerika. Maka, bermulalah perjalanan hidup Aleena dan kakaknya yang penuh cabaran. Sebagai pelajar Melayu Muslim di bumi Amerika, Aleena dan kakaknya menghadapi pelbagai cabaran. Namun, perkara itu membakar semangan Aleena untuk membuktikan remaja Muslim mampu mencapai kejayaan yang cemerlang.
Konflik bermula apabila Aleena  terpaksa belajar matematik bersungguh-sungguh di Foothill Middle School. Namun dia berjaya mengharungi semua konflik dan akhirnya beroleh kecemerlangan dalam kedua-dua bidang. Aleena cuba bersungguh-sungguh untuk menguasai subjek matematik. Dalam masa yang sama, dia akan berlatih bermain violin dengan kakaknya ketika di rumah. Hasilnya, Aleena berjaya menempatkan diri sebagai pemain violin di konsert sekolahnya dan penganugerahan atas penglibatannya. Dia juga menerima anugerah pelajar cemerlang dalam subjek matematik. Aleena berbangga kerana dia telah berjaya membuktikan bahawa pelajar Muslim sepertinya mampu untuk mencapai kejayaan.

Budak Tin
Novel ini mengisahkan seorang remaja perempuan, Fatin yang merupakan anak kepada pemungut tin. Ayahnya, Pak Husin, terpaksa menyara keluarga dengan bergantung kepada mata pencariannya sebagai pemungut tin setelah dia gagal mendapatkan pekerjaan akibat kecacatan fizikal yang dialaminya. Tin-tin yang dipungut di tempat pembuangan sampah akan dibersihkan dan dijual di pusat kitar semula. Walaupun berhadapan dengan kehidupan yang serba sederhana
, Fatin bersyukur dengan kehidupannya. Malah, Fatin berusaha menjadi anak yang mampu meringankan beban keluarga. Setelah pulang dari sekolah, Fatin akan cepat-cepat menyiapkan kerja sekolahnya agar pada waktu petang, dia dapat membantu ayahnya memungut tin di kawasan pelupusan sampah
Darius, kawan sama sekolah Fatin tidak menyenangi kerjaya ayah Fatin. Baginya, pekerjaan sebagai pemungut tin sangat hina berbanding ayahnya yang berjawatan besar. Hal itu berlarutan sehingga Darius dan Fatin bergaduh dan tidak bertegur sapa. Sehinggalah suatu hari, rumah Darius terbakar dan dia tersekat di dalam rumah tersebut. Pak Husin yang menyedari perkara tersebut cuba sedaya upaya membantu menyelamatkan Darius. Sejak daripada itu, Darius sedar bahawa nilai seorang manusia tidak terletak pada darjat dan kedudukan seseorang.
Ulasan Penilaian Pemenang

Pada peringkat akhir penilaian, panel penilai telah bersetuju untuk mengangkat novel Suteki Da Ne Aleena oleh Mass Ruhaiza Ali untuk memenangi kategori ini.  Keputusan ini dibuat berdasarkan justifikasi yang  dipersetujui, iaitu kekuatan kesatuan dan organik karya, kekuatan dan keaslian persoalan yang ditampilkan secara matang, keseimbangan estetika bahasa dan persoalan kemanusiaan, keindahan moral, kesesuaian nilai, serta inovasi dan kreativiti.

1.    a. Kekuatan kesatuan dan organik karya
Struktur novel ini memenuhi struktur novel yang baik iaitu mengandungi tema yang jelas, plot yang menyakinkan ada unsur sebab dan akibat, watak dan perwatakan yang menimbulkan emosi kepada pembaca, gaya bahasa yang baik, menarik dan boleh difahami oleh khalayak pembaca.
b. Kekuatan dan keaslian persoalan yang ditampilkan secara matang
Persoalan yang diketengahkan berada di luar klise penulisan novel kanak-kanak dalam kesusasteraan Melayu, iaitu konflik seorang kanak-kanak untuk menguasai dua bidang ilmu iaitu muzik dan matematik. Persoalan itu diberatkan dengan latar di luar negara yang berhadapan dengan pelbagai cabaran dan suasana latar yang dialami. Namun watak utama ini berjaya mengatasi konflik yang dihadapi.
c. Keseimbangan estetika bahasa dan persoalan kemanusiaan
Bahasanya baik disampaikan secara sederhana, mudah difahami oleh pembaca kanak-kanak. Penggunaan bahasa yang baik dan menimbulkan kesan kepada pembaca menyebabkan novel ini tidak jemu untuk dihayati.
·  Pengarang berjaya menyampaikan ceritanya secara objektif dan diperindah dengan penerapan unsur  kesusasteraan.
·      Penggunaan bahasa asing yang digunakan adalah sesuai kerana latar penceritaan dalam novel tersebut di luar negara.

1.    d. Keindahan moral dan kesesuaian nilai

·         Kekuatan novel ini terletak kepada nilai diri watak remaja yang berjaya menonjolkan nilai positif walaupun berhadapan dengan pelbagai konflik. Watak juga menunjukkan sifat jati diri yang tinggi dalam dirinya apabila berjaya mengekalkan identitinya sebagai pelajar Muslim dalam kelompok masyarakat barat  yang majoritinya bukan  Islam.

1.    e. Inovasi dan kreativiti.

·         Pengarang telah berjaya mengetengahkan persoalan baharu kepelbagaian kecerdasan manusia yang disampaikan melalui watak Alena yang berjaya menguasai dua bidang yang berbeza iaitu bidang seni dan bidang matematik dengan cemerlang yang prinsip asasnya melibatkan peranan otak kiri dan otak kanan.
·         Teknik penceritaan banyak memasukkan teknik monolog dalam diri watak utama Aleena yang menggambarkan pelbagai konflik yang dihadapi oleh watak tersebut.


Kesimpulan
Kesimpulannya, novel kanak-kanak yang dinilai mengetengahkan pelbagai tema yang berkaitan dunia kanak-kanak. Namun, pemilihan tema sewajar diperteguh dengan binaan struktur karya yang lengkap dan saling menyokong antara satu sama lain. Kebanyakan novel yang dinilai tidak dapat memenuhi keperluan struktural yangn optimum. Ringkasnya, novel yang diangkat sebagai pemenang mempunyai kekuatan dan kehebatannya yang tersendiri, melepasi novel-novel dalam kategori yang sama.